Thursday, October 16, 2008

Perairan Malaysia Khazanah Harta Karun


JAUH dalam kegelapan dasar laut yang terselindung di beberapa lokasi rahsia di perairan negara ini, tersembunyi beberapa khazanah misteri berusia ratusan tahun tanpa disedari sesiapa.

Selama beratus tahun itu jugalah khazanah berkenaan terpegun melewati masa. Kehadirannya di dasar laut yang asing itu sekadar menjadi mainan dan lokasi kediaman buat ribuan ikan dan hidupan laut.


Sehinggalah kira-kira 30 tahun lalu, dengan penuh persoalan yang membenih pada minda, beberapa penyelidik mula menyelam di dasar lautan perairan negara bagi meneroka lokasi misteri khazanah berkenaan.

Selepas beberapa ketika mencari pada pelbagai tempat di dasar laut, akhirnya penyelidik menemui satu bentuk tinggalan aneh yang terdampar di dasar lautan luas itu.

Selepas diamati dan didekati, akhirnya penyelidik terbabit menyedari bahawa di dasar Laut China Selatan dan Selat Melaka di negara ini, tersimpan banyak warisan kapal karam purba yang turut menenggelamkan bersamanya khazanah ‘harta karun’ yang tidak ternilai harganya.

 Pakar Arkeologi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr Adi Taha, berkata keadaan geografi dan sejarah silam di Tanah Melayu menyebabkan ia memiliki banyak khazanah maritim berupa kapal karam dan harta karun.

“Lokasi tanah air kita yang strategik iaitu terletak di tengah jalan laut yang menghubungkan antara dunia Timur dan Barat menyebabkan ia menjadi lokasi persinggahan pedagang, suatu ketika dulu.

“Keadaan itu juga menyebabkan Melaka menjadi terkenal sebagai satu daripada lokasi perdagangan pada abad ke-15 dan jalan laut sekitar negara kita dipenuhi kapal dagang yang membawa banyak harta atau barang dagangan,” katanya.

Beliau berkata, ada kapal yang membawa barang dagangan berharga itu yang karam di perairan negara akibat pelbagai sebab antaranya melanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut.

Seterusnya melewati masa sedari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin banyak pula kapal yang membawa pelbagai harta karun, karam di dasar laut itu.

Harta karun yang ditemui dalam kapal karam berkenaan bagaimanapun bukanlah berupa jongkong emas atau permata sebaliknya tembikar, seramik, senjata, wang syiling lama selain pelbagai barang dagangan pada zaman itu.

“Antara usaha terawal dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dilakukan sekitar penghujung 1970-an apabila Kerajaan Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran Chendering.

“Kapal itu karam kerana terkena tembakan peluru berpandu dan tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut. Kerja penyelaman dijalankan dan lakaran bentuk kapal itu berjaya dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata, antara penemuan terbesar dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dicatat pada 1980 apabila bangkai kapal dagang ‘Risdam’ ditemui di perairan Mersing, Johor. Kapal dagang milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) itu sudah berusia 253 tahun dan ia didapati karam pada 1727.

‘Harta karun’ yang ditemui dalam kapal itu adalah 90 gading gajah, kira-kira 100 jongkong timah dan dua tembikar yang dibuat dari Thailand.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 10 kapal karam sudah ditemui di perairan Malaysia dan selain Jabatan Muzium, usaha mencari kapal itu turut membabitkan pihak swasta dan orang perseorangan termasuk pencari harta karun.

Antara kapal karam yang ditemui adalah:

  • Kapal ‘Nassau’ milik Belanda ditemui pada kedalaman 27 meter dari paras laut berhampiran Port Dickson. Kapal yang ditemui pada 1993 itu dipercayai karam dalam pertempuran ‘Tanjung Tuan’ antara Belanda dengan Portugis pada 1606. Antara harta karun yang ditemui dalam kapal itu adalah senapang besi, meriam gangsa, kelengkapan pelayaran seperti kompas, 1,000 syiling perak Sepanyol dan bekas minuman.
  • Kapal ‘Turiang’ yang dipercayai dari China, tenggelam pada 1370 ditemui pada 1998 di perairan Johor. Ia tenggelam pada kedalaman 42 meter dan seramik yang ditemui dalam kapal itu masih berkeadaan baik.
  • Kapal ‘Nanyang’ yang juga dipercayai dari China ditemui pada kedalaman 54 meter dari paras laut, berhampiran perairan Johor. Kira-kira 400 seramik sudah dikeluarkan dari kapal yang tenggelam pada 1380 dan ditemui semula pada 1995 itu.
  • Kapal ‘Royal Nanhai’ yang tenggelam pada 1460 ditemui pada 1995 di kedalaman 46 meter dari paras laut, kira-kira 40 batu nautika dari Pantai Timur. Sebanyak 21,000 seramik antaranya buatan Thailand, China dan Vietnam ditemui di dalamnya.
  • Kapal ‘Longquan’ yang karam sekitar 1390, ditemui semula pada 1996 pada kedalaman 63 meter dari paras laut dan 23 batu nautika dari pantai Terengganu. Ia membawa seramik dari China dan Thailand.
  • Kapal ‘Xuande’ yang karam pada 1540 ditemui pada kedalaman 53 meter dari paras laut dan jaraknya 34 batu nautika dari pantai Pahang. Kapal yang ditemui pada 1996 itu membawa harta karun berupa seramik dari China dan Thailand.
  • Kapal ‘Desaru’ yang turut membawa seramik buatan China, ditemui pada kedalaman 20 meter dari paras laut berdekatan Mersing. Kapal yang karam pada 1830 dan dijumpai pada 2001 itu berukuran panjang 30 meter dan tujuh meter lebar.
  • * Kapal ‘Singtai’ tenggelam pada 1550 dan ditemui pada 2001 kira-kira 12 batu nautika dari Kelantan. Kapal yang panjangnya 22 meter itu belayar di Laut China Selatan dan ratusan seramik ditemui di dalamnya.
  • Kapal ‘Diana’ milik British pula karam pada 1817 di perairan Selat Melaka dan hanya ditemui pada 1993 pada kedalaman 34 meter dari paras laut. Barang seramik dan porselin adalah kargo utama dalam kapal yang mempunyai muatan seberat 11 tan. Antara barangan itu ialah pinggan mangkuk, set teh dan kira-kira 24,000 unit tembikar China daripada jenis biru dan putih.



Suka entri ini.?

Banner X-Change

aizuddin.com

.

Related Posts with Thumbnails
 

Copyright 2008 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com Edited by Unwanted