PINTAR lagikah Sufiah Yusof, 23, selepas dalam tempoh lapan tahun ‘mewah’ dengan kisah kontroversi berbanding kisah keistimewaannya sebagai seorang yang pintar matematik?
Menghilangkan diri pada 2000, tidak menamatkan pengajian selepas berkahwin pada 2004 dan mencetuskan kegemparan tahun ini apabila terbabit dalam kancah pelacuran kerana mahu menyara hidup, antara kisah yang membayangkan anak pasangan Farooq Yusof, 51, berasal dari Pakistan dan Halimaton Yusof, 52, dari Muar, Johor itu bagai sudah melupakan keistimewaan yang ada pada dirinya.
Itu tidak termasuk dakwaannya menjalani kehidupan seperti di dalam neraka, menderita didera secara fizikal serta mental selama 15 tahun dan mengaku pernah dua kali cuba membunuh diri ketika berusia 11 tahun.
Semua itu jelas membuktikan fikiran dan emosinya terganggu, sekali gus menimbulkan persoalan adakah dia masih dekat dengan dunia akademik yang pernah memasyhurkan namanya dulu.
Pakar matematik, Mokhtar Mansor, yang terkenal dengan kaedah Mokhdar (kaedah mencongak cepat dan berfikir pantas dalam pembelajaran matematik) berpendapat, kepintaran Sufiah tidak akan hilang walaupun dibelenggu pelbagai masalah dan tekanan.
Begitupun, katanya, kepintarannya mungkin merosot, namun boleh diperbaiki atau disegarkan semula.
“Sama seperti sebuah komputer yang mengalami kerosakan. Selepas dibaiki, ia tidak menjejaskan prestasi sistem komputer berkenaan. Komputer itu tetap menghasilkan ‘prestasi’ sama,” katanya.
Menurutnya, ramai orang pintar mengalami kesukaran atau penderitaan hidup memandangkan rutin hidup dan pergaulan mereka berbeza dengan orang lain.
Katanya, apabila situasi begitu terjadi, menjadi perkara biasa golongan pintar itu melakukan sesuatu di luar jangkaan hingga tidak terkawal seperti yang berlaku kepada Sufiah.
“Golongan seperti itu suka bersendirian. Bila berdepan sesuatu masalah, mereka suka pendamkan. Walaupun pintar, ada kalanya mereka sukar mengawal hidup.
“Ini yang berlaku kepada Sufiah. Dia gagal mengawal hidupnya akibat desakan hidup dan tekanan keluarga. Dalam hal ini, Sufiah gagal mengawal emosi,” katanya.
Mokhtar berkata, kejadian yang berlaku kepada Sufiah juga bukan kali pertama menimpa golongan yang dianggap genius, malah ada yang membunuh diri akibat tekanan hidup dan desakan persekitaran.
“Misalnya kes Kan Hun Meng, pelajar genius berasal dari Seremban. Dia memperoleh ijazah pertama ketika berumur 16 tahun dan menerima doktor falsafah (PhD) ketika berusia 22 tahun.
“Namun akibat tekanan hidup yang dialami, dia membunuh diri pada usia 32 tahun. Kejadian ini berlaku dua tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata kebijaksanaan seseorang yang dianggap sebagai pintar tiada kaitan dengan masalah peribadi yang mereka lalui dalam menjalani hidup seharian.
Katanya, walaupun Sufiah mengalami krisis hidup kerana desakan dan tekanan daripada keluarga, dia tetap pintar dan semua yang berlaku dalam hidupnya kini adalah atas kehendaknya.
“Apa yang berlaku pada Sufiah adalah krisis nilai dan personaliti. Semua itu dipengaruhi cara hidup Barat dan budaya persekitarannya.
“Dia tetap pintar, kebijaksanaannya masih ada. Cuma yang berlaku pada Sufiah disebabkan faktor lain, iaitu ‘kongkongan’ keluarga dan cara hidupnya di sana,” katanya.
Menurutnya, masalah menimpa Sufiah yang kini menjadi perhatian media juga sebenarnya perkara biasa yang boleh berlaku kepada sesiapa.
“Kes seperti Sufiah perkara normal dan biasa saja. Cuma ia mencuri perhatian ramai kerana dia pintar.
“Dengan kebijaksanaannya, Sufiah sepatutnya lebih bijak dan tahu memilih ‘jalan’ hidup lebih baik. Yang berlaku adalah sebahagian krisis hidup,” katanya.
Jika Sufiah meneruskan pengajian dan tidak terbabit dengan kontroversi, barangkali Sufiah yang juga warga negara Britain kini ada di negara ini.
Ini kerana, ketika ditawarkan biasiswa oleh Yayasan Sime Darby berjumlah RM220,000 selepas berjaya ditawarkan tempat di Kolej St Hilda, Universiti Oxford, pada usia semuda 13 tahun pada 1997, antara syarat yang perlu dipenuhi adalah dia perlu bekerja di negara ini selepas tamat pengajian.
Namun hanya dalam tempoh tiga tahun pengajian, dia tiba-tiba lari daripada keluarganya pada 2000 dan sejak itu dilaporkan tinggal dengan keluarga angkat bukan Islam dan mendapat bantuan perkhidmatan sosial berikutan tidak mahu pulang ke pangkuan keluarganya.
Ketika bersama keluarga angkat, Sufiah cuba mendapatkan kembali zaman remajanya. Gambar dalam akhbar tempatan menunjukkan Sufiah yang berbeza sekali dengan Sufiah yang bertudung litup dan berseluar panjang. Dia seperti remaja lain dengan pakaian ringkas dan rambut gaya baru.
Perubahan itu menimbulkan keprihatinan Kesatuan Melayu United Kingdom yang berusaha supaya Sufiah ditempatkan bersama keluarga Islam, tetapi tidak berjaya.
Sufiah juga secara terang-terangan memburukkan bapanya apabila mendakwa tertekan dengan kehidupan selama 15 tahun yang penuh dengan penderaan fizikal dan emosi menerusi e-mel dan temuramah khas dalam televisyen.
Dalam tempoh kritikal itu juga, terbongkar pelbagai kisah negatif mengenai keluarganya. Akhbar Daily Mail melaporkan, bapa Sufiah pernah dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana didapati bersalah dalam kes pemalsuan pembiayaan sewa-beli membabitkan STG1.5 juta (RM9 juta).
Farooq yang sebelum itu dikenali sebagai Farooq Khan didapati bersalah melakukan jenayah itu pada Ogos 1992 bersama beberapa anggota keluarganya yang lain menerusi 54 pinjaman pembiayaan sewa-beli.
Ketika berusia 19 tahun pada 1977, Farooq juga pernah dihantar ke Penjara Borstal atas satu kesalahan serupa membabitkan sejumlah STG100,000 (RM600,000).
Sementara itu, Halimaton juga pernah dijatuhi hukuman penjara tertangguh (suspended prison sentence) 18 bulan pada 1992 dan sejumlah STG25,000 (RM150,000) daripadanya dirampas polis.
Dia didapati bersalah kerana memalsukan maklumat untuk mendapatkan elaun saraan berjumlah STG180 (RM1,080) seminggu daripada kerajaan, sedangkan dia ketika itu tinggal di sebuah rumah yang ada gelanggang tenis.
Dalam tempoh berkenaan juga, penulis, Richard Burton, mendedahkan dalam akhbar The Daily Telegraph mengenai pengalaman empat bulannya bersama keluarga itu ketika mahu menulis buku mengenai kejayaan ‘keluarga pintar’ berkenaan.
Bagaimanapun, buku itu ‘The Stroke of A Genius’ tidak diterbitkan apabila Burton hilang kepercayaan terhadap Farooq selepas mendapati beberapa maklumat mengenai dirinya dipinda, disembunyi atau dipalsukan.
Dua tahun selepas menghilangkan diri, Sufiah meneruskan pengajiannya tetapi pada 2004, ketika berusia 19 tahun, dia memilih untuk melupakan pengajiannya apabila berkahwin dengan peguam pelatih, Jonathan Ibraheem Marshall yang ketika itu berusia 24 tahun.
Walaupun diundang, ibu bapa Sufiah dan saudara kandungnya yang lain tidak hadir. Bagaimanapun, impiannya untuk hidup bahagia dengan Jonathan berkecai apabila mereka bercerai setahun kemudian.
Pada 2007, bapa Sufiah dihukum penjara 18 bulan oleh mahkamah di Coventry kerana meraba dua pelajar perempuan berusia 15 tahun.
Sehinggalah tahun ini, Ahad lalu, akhbar tabloid News Of The World melaporkan Sufiah melacurkan diri dengan mengiklankan perkhidmatannya melalui Internet dengan tawaran £130 (RM830).
Dengan memakai nama samaran Shilpa Lee, Sufiah antara lain menggambarkan dirinya sebagai pelajar bijak dan seksi yang menyediakan perkhidmatan setiap hari dari jam 11 pagi hingga 8 malam di Salford, Manchester.
Tidak dapat dipastikan sejak bila Sufiah melakukan pekerjaan itu, tetapi berdasarkan laporan dikirim menerusi laman web khidmat seks oleh beberapa pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatannya, Sufiah sudah beberapa bulan melacur.
Laporan di laman web di mana Sufiah mengiklankan dirinya memaparkan maklumat pelanggan itu melanggan Sufiah pada 6 Januari 2008 dan menghabiskan masa selama dua jam.
Catatan daripada seorang lagi pelanggan menunjukkan dia melanggan Sufiah pada 19 Mac 2008 untuk tempoh sejam.
Sufiah adalah anak ketiga daripada lima beradik. Adik beradiknya yang lain ialah Isaac, 27, Noraisha, 25, Iskander, 21 dan Zuleika, 14. Semua adik beradik Sufiah juga pintar.
Farooq adalah penyelidik matematik, manakala Halimaton memiliki sarjana dalam bidang kimia, Universiti Kingston, United Kingdom.
Farooq pernah berkata beliau mengesan kecerdasan Sufiah sejak umurnya baru empat bulan.
“Sufiah mula menunjukkan keinginan untuk berkomunikasi dengan aktif ketika usianya empat bulan dan ketika umurnya dua tahun setengah, Sufiah sangat berminat bermain dengan teka silang kata.
“Saya dan isteri terus mendidiknya dengan mengajarnya sukatan pelajaran lebih tinggi dan sukar,” katanya.
Menurutnya, selepas berusia lima tahun, beliau menghantar Sufiah ke sekolah, tetapi anaknya hanya bersekolah selama tiga bulan kerana mengadu bosan dengan pelajaran di sekolah.
“Secara umumnya, pengetahuan Sufiah lebih terkedepan berbanding sukatan yang diajarkan di sekolah.
“Sufiah mahu terus belajar di rumah seperti dilakukan selama ini,” katanya.
Farooq berkata, setelah memikir untuk memberi yang terbaik kepada anaknya, beliau memutuskan untuk mengajar sendiri di rumah.
(Pihak berkuasa pendidikan tempatan di England boleh memberi kebenaran kepada ibu bapa yang ingin mendidik sendiri anak mereka tanpa perlu mendaftarnya di sekolah awam).
sumber : kosmo.com.my